Monday, July 11, 2011

Lebuhraya Karak- Kebenaran atau sekadar Mitos?





Laluan yang dilitupi kabus pada masa-masa tertentu

Berbagai cerita yang telah kita dengar berkaitan dengan Lebuhraya Karak yang menghubungkan Pantai Timur dengan Kuala Lumpur. Dan semestinya kebanyakkannya berkisar kepada kisah-kisah seram pengalaman pengguna laluan ini malah ada yang telah dijadikan filem atau drama yang menjadi sambutan hangat dikalangan penontonnya. Namun sejauh mana dakwaan laluan ini berpuaka tidak dapat dibuktikan dengan jelas kerana kebanyakkannya bersumber dari kata orang, kata kawan kepada pakcik, kawan kepada kawan dan bermacam lagi. Jika adapun pengalaman sendiri, kebanyakannya tidak dapat dibuktikan dengan bukti sahih dan sebagainya PRSG cuba menyingkap kisah sebenar disebalik cerita mitos dan seram yang sering menghantui pengguna lebuhraya yang amat terkenal ini. Berdasarkan cerita yang disampaikan, laluan lama lebuhraya Karak ini sememangnya amat menggerunkan kepada sesiapa sahaja yang melaluinya lebih-lebih lagi di waktu malam dimana tiada lampu jalan disediakan sepanjang laluan dan ini menyebabkan adakalanya pemandu terbabas kedalam gaung atau bertembung dengan kenderaan lain yang dipandu laju dari arah bertentangan hingga menyebabkan kecederaan mahupun kematian. Laluan lama yang melalui Pekan Karak ini merupakan laluan utama suatu masa ketika dahulu sebelum terbinanya laluan utama Lebuhraya Karak. Dan kebanyakan cerita seram adalah berlaku di laluan lama dan hanya adakalanya berlaku di laluan baru lebuhraya.

Diantara cerita yang pernah didengar adalah:

1. Kisah suami isteri dan makhluk mengerikan

Salah sebuah adegan berkaitan lagenda makhluk memakan manusia diatas bumbung kereta

Cerita ini berkisar dengan kisah sepasang suami isteri yang melalui laluan ini dan kemudianya kereta yang dipandu rosak ditengah jalan. Si Suami kemudiannya menyuruh si isteri duduk didalam kereta bersama anaknya dan mengunci pintu dan jangan keluar dari kereta manakala dia akan pergi mencari bantuan. Dipendekkan ceritanya, tatkala si isteri sedang kerisauan menunggu si suami, dia terdengar bunyi sesuatu yang menghempap bumbung keretanya, namun atas arahan suaminya dia terus duduk di dalam kereta. Tidak lama kemudian sebuah kereta peronda polis (ada yang mengatakan kenderaan peronda PLUS dan ada pula yang mengatakan kenderaan tentera) tiba dan berhenti di hadapan kereta pasangan suami isteri berkenaan. Salah seorang anggota polis kemudiannya mengarahkan si isteri berkenaan keluar dari kenderaan perlahan-lahan kearah kenderaan polis dan jangan menoleh kebelakang. Namun atas perasaan ingin tahu, si isteri kemudiannya menoleh dan ternampak satu makhluk yang mengerikan sedang membaham suaminya diatas bumbung kereta mereka. Makhluk itu kemudiannya terbang ke arah hutan dan menghilangkan diri.


2. Misteri hantu kanak-kanak


Cerita berikutnya berkenaan dengan kelibat seorang kanak-kanak yang meminta tolong (ada yang mengatakan melambai kenderaan untuk berhenti). Kanak-kanak berkenaan akan bertanya jika pengguna laluan ada melihat ibunya dan dia sedang mencari ibunya yang hilang. Ada beberapa dakwaan yang mengatakan apabila pengguna laluan berkenaan berlalu meninggalkan tempat tersebut, kanak-kanak yang sama didapati bergerak (samada melayang atau berlari) dengan kelajuan yang sama dengan kenderaan berkenaan dan menyebabkan pemandu terkejut dan hilang kawalan dan mengalami kemalangan

3. Lembaga putih yang melayang dari hadapan kereta

Terdapat juga cerita yang menyebut ada beberapa orang pengguna laluan pernah mengalami gangguan berupa sesusuk tubuh berpakaian puth melayang dari arah depan menghala ke cermin hadapan kenderaan dan menyebabkan kenderaan yang dipandu terbabas atau hilang kawalan. Lembaga tersebut dikatakan pontianak yang mendiami kawasan lebuhraya Karak.
Sungguhpun banyak lagi kisah-kisah seram yang sering didengari di kawasan laluan ini, namun kebanyakannya masih lagi menjadi misteri dan tanda tanya adakah ianya benar-benar berlaku atau hanya cerita mitos yang diceritakan dari mulut ke mulut untuk menakuti pengguna laluan tersebut. Namun demikian, PRSG telah mendapat respons dari beberapa orang pembaca malah turut mencari maklumat berkaitan dengan laluan lama lebuhraya Karak yang sering dikaitkan dengan lalun berpuaka tersebut. Walau apapun hasil penyelidikan yang dibuat oleh PRSG, terpulanglah kepada para pembaca untuk menilai kebenaran disebalik cerita yang disampaikan.

Berikut adalah hasil penyelidikan PRSG dengan kerjasama pengkaji mitos dan lagenda dari luar negara berkaitan dengan fenomena laluan berhantu.

1. Mitos dan lagenda setempat berkaitan dengan laluan puaka dan mayat diatas kereta.
Menurut sumber dari salah seorang pengkaji paranormal bebas, Veronica Aliston, 29 yang berasal dari Amerika, lagenda setempat berkenaan dengan kenderaan di laluan berpuaka, terdapat satu kisah yang amat popular dan menjadi 'urban legend' di Amerika iaitu berkenaan dengan sepasang remaja yang berhenti di satu kawasan untuk berasmara dan kemudiaanya apabila hendak kembali ke rumah, kenderaan yang dinaikinya mengalami masalah. Si lelaki kemudiannya keluar dan menyuruh si gadis menutup pintu dan mengunci dari dalam dan jangan keluar dari kereta sementara dia mencari pertolongan. Selang beberapa ketika si gadis kemudiannya terdengar satu bunyi kuat meghempap bumbung kereta mereka dan diikuti oleh bunyi seperti 'skreet' berulang kali.

Lagenda 'The Boyfriend's Death' dari Amerika

Atas sebab ketakutan si gadis terus berada dalam kenderaan sehinggalah pihak berkuasa tempatan melalui kawasan berkenaan dan mengarahkan si gadis berkenaan keluar dari kenderaan berkenaan secara perlahan-lahan menghampiri mereka. Mereka juga turut melarang gadis berkenaan menoleh ke belakang sewaktu berjalan menuju ke kenderaan pihak berkuasa berkenaan, akan tetapi disebabkan perasaan ingin tahu dia kemudiannya menoleh kebelakang dan terpandang olehnya teman lelakinya sedang tergantung pada pokok dengan keadaan mengerikan sambil kakinya menguis-nguis bumbung kereta mereka seolah-olah cuba untuk berdiri.

2. Asal usul kisah dan lagenda

Menurut sumber kajian dan penyelidikan di Amerika, versi paling awal berkaitan tentang cerita sebegini telah direkodkan oleh penuntut di University Kansas. Dan pada pengakhir tahun 1970an ianya tersebar ke serata dunia dan dikenali sebagi 'The Boyfriend's Death'. Mungkinkah cerita ini menjadi asas kepada versi popular di Malaysia dan hanya diubah jalan ceritanya? Jika tidak, kemana perginya saksi sebenar atau rekod laporan bertulis dan sebagainya yang menyatakan kejadian misteri ini benar-benar berlaku di laluan lama Karak?

Walau apapun spekulasi berkaitan dengan lagenda atau mitos yang diceritakan berkaitan dengan lebuhraya Karak, cerita serta kisah yang berkaitan dengan kejadian aneh serta paranormal tetap diceritakan oleh para pengguna lebuhraya berkenaan. Paracrypt RSG sedang dalam perancangan untuk membuat kajian dan merungkai sendiri kisah disebalik cerita dan lagenda ini dan akan dikongsikan bersama dengan para penyelidik dan pembaca.

Sekiranya ada yang ingin berkongsi pendapat atau input berkaitan dengan misteri lebuhraya Karak sila emailkan kepada Paracrypt RSG dan akan disiarkan di blog rasmi ini bagi dikongsikan bersama pembaca dan penyelidik yang lain. Semoga misteri dan lagenda disebalik kisah Lebuhraya Karak ini akan terungkai.