Thursday, April 19, 2007

Naga - Mitos atau realiti?




Salah seorang pembaca telah menhantar email kepada PRSG dan bertanyakan tentang makhluk yang bernama 'Naga' samada ianya wujud atau sekadar mitos khayalan purbakala. Artikel dibawah diharap dapat menjawab dan memberikan informasi serba sedikit mengenai apa itu 'naga' dan adakah ianya wujud.

Dalam kepercayaan turun temurun peradaban manusia, naga telah menjadi simbol budaya dan kepercayaan dalam kehidupan. Naga dikaitkan dengan kekuasaan, kekuatan, mistik serta spiritual. Namun begitu persoalan tentang wujudnya naga telah menjadi isu perdebatan antara para pengkaji dan jika dilihat dari segi penulisan, mitos naga telah wujud hampir 330 tahun sebelum Masihi. Mitos naga terhasil daripada penemuan tinggalan tulang dinasor yang dianggap oleh manusia terdahulu sebagai tulang naga walau secara saintifiknya manusia wujud selepas ketiadaan dinasor, dan tiada rekod purba yang menyatakan manusia hidup sezaman dengannya, akan tetapi disebabkan proses perkembangan ilmu maka kini manusia telah mengklasifikasikan tulang haiwan gergasi yang disangka naga tersebut kepada spesis dinasor samada yang tinggal di lautan atau daratan mengikut era perubahan cuaca bumi sehinggalah kewujudan manusia yang seterusnya menjadi 'gergasi' hingga ke hari ini. Secara mitos amnya naga terbahagi kepada beberapa jenis mengikut habitat serta perilakunya. Terdapat naga gunung, naga lautan, naga tasik serta naga langit. Mengenai soalan anda tentang naga, kewujudan makhluk tersebut telah menjadi pertikaian sekian lama kerana tiada bukti kukuh samada berbentuk fizikal iaitu tulang, gambar sebenar atau foto makhluk tersebut yang berjaya ditangkap. Apa yang sering digambarkan adalah berdasarkan kepercayaan kaum atau puak tertentu dan ianya lebih kepada imaginasi sahaja. Tentu ada yang bertanya bagaimana pula dengan imej naga yang sering digambarkan oleh orang Cina, India, Eropah malahan orang Melayu? Jika kita perhatikan dari segi rupa bentuk fizikal, terdapat banyak perbezaan. Naga orang timur lebih kepada berbentuk seperti ular besar, berkuku tajam, bersisik dan ada yang berkaki empat tetapi berlainan pula halnya dengan naga dari Eropah yang mempunyai sayap dan menghembuskan api.

Sebelum kita menghurai dan membincangkan mengenai mahluk naga ini, tahukah anda dari mana asal perkataan naga itu datang?

Perkataan naga adalah berasal dari perkataan Sanskrit ‘Nag’ yang merujuk kepada ular besar serta dikaitkan dengan peringkat separa ktuhanan seseorang penganut Hindu dan Budha kuno itu yang boleh menyerupai salah satu diantara dua kejadian iaitu samada manusia atau ular. Bagi kepercayaan kuno mereka, golongan ini selalunya berwajah cantik dan tampan walaupun adakalanyanya mereka merbahaya kepada manusia serta mempunya kerajaan di alam mistik yang dikenali sebagai Naga-Loka ata Pata-Loka. Di dalam kitab Injil pula, naga merujuk kepada ‘the Old Snake’ iaitu Syaitan yang menyerupai seekor ular dan telah memperdayakan Adam dan Hawa untuk memakan buah larangan. Namun begitu, di dalam Al Quran Nur Karim tiada yang menyebut tentang wujudnya makhluk naga ini kecuali makhluk lain selain dari manusia iaitu para Malaikat, golongan Jin serta Syaitan.

Perbahasan serta teori tentang naga ini telah menjadi topik utama para arkeologi serta saintis selama beberapa dekad malah respons dari umum dengan penghantaran imej foto malah dalam ada yang dalam bentuk rakaman makhluk naga ini mula menular sehingga dewasa ini. Ada yang mendakwa melihat dengan jelas bentuk makhluk ini ketika di laut tetapi, setelah dikaji kebanyakannya adalah akibat tersilap tafsir tentang haiwan seperti ikan ‘Oarfish’ atau dalam nama saintifiknya ‘Regalecus Glesne Ascanius’ yang oleh membesar sehingga 20-40 kaki panjang dan mencapai berat sehingga 400 paun. Spesis ikan ini hidup di dasar lautan yang mempunyai kedalaman sehingga 700 meter dan hanya akan berada hampir dengan permukaan jika ia sakit atau cedera dan kemungkinan ketika berada di permukaan air ini ia disalah ditafsir sebagai ‘naga’ kerana bentuknya yang pelik. Dibawah adalah bentuk fizikal ‘Regalecus Glesne Ascanius’ sebenar atau dikenali sebagai ‘naga laut’



Bagaimana pula halnya dengan naga daratan atau udara? Pada dasarnya mitos mengenai naga juga ada menyebut tentang jenis naga yang wujud serta habitatnya seperti di pergunungan, hutan rimba serta langit atau udara Namun secara ringkasnya merujuk kepada spesis yang sama. Terdapat cerita rakyat mengenai pertarungan antara naga dan manusia seperti cerita dari Eropah dimana hikayatnya menceritakan keberanian satria purba memburu dan membunuh naga dengan bersenjatakan tombak, panah serta pedang.

Cerita lagenda seperti ini amat popular di negara Eropah seperti England, Romania, Greece dan negara-negara yang lain dengan watak satrianya seperti St George, Beowulf. Tetapi mengapa ianya berbeza dengan naga dari Asia yang lebih digambarkan sebagai pembawa tuah oleh orang Cina? Walau apapun penjelasannya, makhluk naga ini ringkasnya wujud dalam mitos lagenda yang terhasil dari terhadnya ilmu alam pada waktu itu dan akhirnya melahirkan haiwan atau makhluk mistik lain walhal pada akhirnya dianggap haiwan biasa oleh kita di zaman moden ini. Seperti contoh yang terdapat pada satu lukisan kurun ke 11 pada dinding bangunan gereja Garona, Sepanyol di Eropah.

Gambar ini sebenarnya merujuk kepada paus dan lumba-lumba akan tetapi disebabkan pelukis melukis sebegitu rupa maka akhirnya disilap tafsirkan sebagai naga air atau naga lautan dan sudah tentu pada ketika zaman itu manusia mungkin tidak pernah melihat haiwan gergasi seperti paus lalu menganggapnya makhluk naga dan sebagainya. Dan tidak mustahil haiwan yang sememangnya bersaiz besar seperti biawak Komodo dibawah akan dianggap naga belantara atau naga daratan kerana sifat agresifnya oleh nenek moyang kita dahulu.


Kesimpulannya apa yang ingin diterangkan disini ialah, hasil dari perkembangan keilmuan serta ketamadunan manusia kini, kita mula memahami akan kehidupan makhluk khususnya haiwan reptilia yang sebenarnya bersaiz biasa dan perilaku serta habitatnya berbanding dengan pemikiran manusia lampau yang mengaitkan haiwan reptilia ini sebagai raksasa yang bengis sehingga menjadi watak mitos yang menjadi cerita pusaka ketamadunan manusia. Walau apapun, terpulang kepada kita yang waras untuk menentukannya lagi.


Artikel oleh R Iskandar

Paracrypt Research and Study Group

No comments: