Wednesday, February 9, 2011

Lagenda Batu Kapal di Batu Pahat







Bahagian belakang batu kapal tersebut yang menghadap ke Selat Melaka

Jika ditanyakan mengenai lagenda 'Batu Kapal' di Batu Pahat, Johor, mungkin tidak semua yang mengetahuinya kecuali orang-orang tua atau penduduk di sekitar kawasan tersebut sahaja. Bagi orang luar lagenda ini mungkin dianggap sekadar cerita rakyat yang sama halnya dengan mitos serta lagenda seperti Batu Gajah, Batu Bersanding, Batu Sumpahan dan pelbagai lagi yang dikaitkan dengan Sang Kelembai. Namun bagi penyelidik seperti kami, kisah atau cerita seperti ini adalah merupakan sebahagian dari cabang kesenian budaya khususnya dalam aspek penceritaan lisan berkaitan dengan kepercayaan, keagamaan malah budaya masyarakat setempat. Pengkajian kes seperti ini mungkin akan dianggap membuang masa atau remeh namun bagi sesetengah pengkaji, sedikit sebanyak khazanah budaya silam seperti ini dapat dikongsi malah dapat dirungkai akan kesahihannya berdasarkan sains, logik dan sejarah.

Berbalik kepada kisah lagenda batu kapal di Pantai Minyak Beku yang terletak dalam daerah Batu Pahat, Johor ini. Formasi batuan ini tidak kurang berbeza dengan mana-mana batu kapal yang terdapat di kawasan – kawasan lain di seluruh Malaysia namun batu kapal yang terdapat di Batu Pahat, Johor ini mempunyai daya tarikan unik yang tersendiri dan jarang ditemui.

Menurut sumber cerita dari salah seorang penduduk setempat, batu kapal ini asalnya adalah sebuah kapal yang terdampar akibat dipukul ribut hingga terbelah dua. Bahagian haluan kapal tersebut terletak berhampiran dengan Kampung Petani yang jaraknya lebih kurang 3 kilometer dari Bandar Batu Pahat manakala bahagian belakang kapal tersebut terdampar di atas bukit di Pantai Minyak Beku. Menurut sumber lagi, bersebelahan dengan bahagian haluan batu kapal tersebut terdapat sebuah bongkahan batu yang dipanggil ‘Batu Selendang’ kerana terdapat bekas corak selendang di permukaan batu tersebut.

Batu yang dikatakan kemudi kapal

Menurut pengalaman yang diceritakan sendiri oleh Abang Mat kepada kami, bahagian kapal tersebut dipercayai asalnya besi kerana apabila diketuk dengan menggunakan belakang parang pada kemudinya atau bahagian-bahagian tertentu pada struktur tersebut akan terdengar bunyi seakan bunyi logam. Selain itu terdapat dakwaan dari beberapa pihak iaitu kewujudan sebuah pintu masuk kedalam perut kapal namun tidak semua yang dapat menemuinya melainkan bagi mereka yang bernasib baik ataupun mempunyai ilmu serta amalan yang tinggi.

Selain dari misteri batu kapal tersebut, terdapat juga susunan batuan seakan batu nisan di bahagian atas bukit tidak jauh dari formasi batu kapal tersebut, namun tidak diketahui sejarah ataupun cerita sebenar disebalik kewujudan makam misteri ini. Menurut beberapa dakwaan, makam tersebut berkemungkinan milik seorang wali yang tiba di Batu Pahat ratusan tahun dahulu dan dimakamkan di atas bukit tersebut.

Salah satu makam panjang yang tidak diketahui siapa pemiliknya

Batu nisan yang tersusun dalam garisan lurus

Walau apapun dakwaan ataupun kisah disebalik Batu Kapal di pantai Batu Pahat ini, misteri tersebut tidak akan tamat disini. Kajian seterusnya akan dijalankan bagi mengumpul lebih banyak lagi bukti serta fakta yang boleh dikaitkan dengan lagenda Batu Kapal tersebut.

Pihak Paracrypt RSG juga mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat ataupun ingin berkongsi pengalaman berkaitan dengan misteri Batu Kapal ini.


No comments: